Puasa dalam bahasa arab disebut “shoum” atau “shiyam” . Kata al Raghib: “Shoum” pada asalnya bermakna menahan diri dari perbuatan samada makan, bercakap atau berjalan. Justeru dikatakan kepada kuda yang enggan berjalan atau makan “sho’im” (yang berpuasa). “Shoum” juga digunakan untuk diam atau enggan bercakap.
Puasa menurut istilah syara’ membawa maksud khusus iaitu: “menahan diri dari perkara khusus ( syahwat kemaluan iaitu bersetubuh dan perut iaitu makan dan minum, dan semua yang membatalkan puasa ) yang dilakukan oleh seorang yang dikhususkan ( muslim atau muslimah yang bersih dari haid dan nifas ) pada masa yang khusus ( bermula keluarnya fajar hingga terbenamnya matahari ) dengan sifat yang khusus ( dengan niat ibadat untuk mendapat perkenan Allah swt ).
Sebahagian ulama’ menta’rifkan puasa sebagai : “ menahan diri dari syahawat mulut ( makan dan minum ) dan syahawat kemaluan ( jima’ ) dan yang seumpama keduanya, kerana melawan hawa nafsu dan taat kepada Allah swt di keseluruhan waktu siang, dengan niat sebelum terbit fajar atau bersamanya, pada hari-hari yang bukan hari haid dan nifas atau hari-hari raya.”
Ta’rif lain pula menyebut: ” iaitu beribadat kepada Allah dengan menahan diri dari makan, minum dan segala yang membatalkan puasa bermula terbitnya fajar sehingga tenggelam matahari”.
Solat Terawih
Solat Tarawih hanya dilakukan pada malam bulan Ramadhan sahaja. Solat Tarawih dalam bulan Ramadhan (Qiyam Ramadhan) ialah solat Tahajjud atau ‘shalatullail’ (solat malam)yang dilakukan pada malam-malam bulan lainnya.
Tarawih ertinya beristirehat. Maka solat ini dilaksanakan berselang-seli dengan ‘berehat seketika’, Tujuan berhenti rehat sekejap adalah untuk memperolehi keikhlasan dan memberikan ketenangan kepada mereka yang bersolat, khususnya kepada warga emas disamping mengelakkan ketegangan badan selepas berbuka puasa.
Sunnah Rasulullah SAW
Bilangan rakaat Solat Sunat Tarawih yang biasa dilakukan Rasulullah SAW adalah 11 rakaat; terdiri dari 8 rakaat solat Tarawih dan 3 rakaat Solat Sunat Witir. Jumlah ini dipilih oleh kebanyakan umat Islam Malaysia.
Aishah r.a. meriwayatkan lagi; Rasulullah SAW solat (Tarawih) empat rakaat pada waktu malam, setelah itu beristirehat. Baginda duduk lama sehingga saya kasihan melihatnya. Saya berkata kepadanya: “Demi Allah wahai Rasulullah! Dosa-dosamu telah diampuni Allah, sama ada dosa yang terdahulu dan yang terkemudian; maka untuk apakah tuan bersusah payah solat seperti ini?”
Baginda SAW menjawab: “Bukankah lebih baik kalau aku menjadi hamba yang bersyukur?”
SELAMAT MENYAMBUT BULAN RAMADHAN :)
No comments :
Post a Comment