'Lailatul Qadar(Bahasa Arab: لیلة القدر) adalah satu malam yang khusus terjadi di bulan Ramadhan. Ayat al-Qur'an diturunkan pada malam ini. Malam ini disebut di dalam al-Qur'an dalam surah Al-Qadr, dan ia lebih baik daripada seribu bulan.
BILAKAH LAILATUL QADAR?
1. Lailatul Qadar satu malam dalam bulan Ramadhan yang tidak diketahui dengan tepat tarikhnya. Ia lebih diharapkan untuk mendapatkannya pada 10 malam yang terakhir Ramadhan, terutama malam-malam yang ganjil daripada 10 hari terakhir Ramadhan tersebut. Waktunya dikira apabila masuk waktu Maghrib sehingga terbit fajar. Seluruh ulama sepakat bahawa al-Quran diturunkan pada malam al-Qadar, sebahagian ulama berpendapat malam al-Quran diturunkan itu berlaku pada 17 Ramadhan, Syaikh Shafiyyurrahman al-Mubarakfury dalam kitab Sirah Nabawiyyah mengatakan al-Quran diturunkan pada malam ke 21 Ramadhan.
2. Satu kaedah mengetahuinya, kata Imam Ghazali, kebiasaannya, jika awal Ramadhan jatuh pada hari Ahad dan Rabu maka Lailatul Qadar malam ke 29, jika hari Isnin maka Lailatul Qadar malam ke 21, dan jika hari Jumaat dan Selasa, maka Lailatul Qadar malam ke 27, jika hari Khamis maka Lailatul Qadar malam ke 25, jika hari Sabtu maka Lailatul Qadar malam ke 23. Tetapi kaedah ini bukanlah sesuatu yang muktamad, mungkin ia bertepatan dengannya dan mungkin juga tidak, mungkin juga ia berlaku pada malam yang genap, kerana bagi negara kita ia malam yang genap tetapi bagi negara yang puasa lewat atau awal satu hari, ia adalah malam yang ganjil, jadi carilah dengan tekun pada 10 malam yang terakhir tesebut.
SIAPAKAH YANG MENDAPAT LAILATUL QADAR?
1. Orang yang pasti mendapat sebahagian Lailatul Qadar ialah orang yang solat Fardhu Maghrib dan Isyak secara berjamaah sepanjang bulan Ramadhan, dan dia tidur dengan azam yang kuat untuk solat Subuh berjemaah. Sabda Rasulullah s.a.w. “Sesiapa yang sholat ‘Isya` berjemaah, maka seolah-olah dia telah berqiyamulail separuh malam; Dan sesiapa yang sholat Subuh berjemaah, maka seolah-olah dia telah bersolat sepanjang malam.” (Hadis Sahih Riwayat Imam Tarmizi, Ibnu Majah dan Nasai)
2. Solat tarawih adalah termasuk solat malam kerana ia dilakukan selepas solat Isyak, orang yang solat tarawih dikira solat sunat pada malam Lailatul Qadar, oleh itu tambahkanlah lagi bilangan rakaatnya pada 10 malam terakhir Ramadhan.
APAKAH DOA DAN AMALAN LAILATUL QADAR?
1. Bagi orang yang mendapat Lailatu Qadar ucapkanlah:
اَللَّهُمَّ إِنَّكَ عَفُوٌّ كَرِيْمٌ، تُحِبُّ الْعَفْوَ، وَاعْفُ عَنّى وَعَنْ وَالِدَىَّ
“Ya Allah, sesungguhnya Engkau adalah Maha Pemberi Kemaafan (Maha Pengampun), Suka memberi kemaafan (keampunan), maka maafkanlah (ampunkanlah) aku dan kedua ibu bapaku.”
2. Banyakkan solat, membaca al-Quran, doa dan zikir. Berdoalah juga dengan lain-lain doa dalam bahasa kita untuk lain-lain kebaikan dunia dan akhirat, janganlah berdoa sesuatu yang buruk.
3. Bacalah walaupun 1 ayat al-Quran sebelum tidur, kerana jika berbetulan dengan malam Qadar pahalanya lebih baik daripada sekali khatam al-Quran pada malam-malam lain. (sebaik-baiknya bacalah 10 kali Surah Al-Ikhlas, iaitu Qul Huwallahu Ahad)
4. Bagi perempuan yang haidh atau nifas, ucapkan zikir-zikir di bawah:
سُبْحَانَ اللهِ، وَالْحَمْدُ لِلَّهِ، وَلا إِلَهَ إلا اللهُ، وَاللهُ أَكْبَرُ
Kelebihan Malam Lailatul Qadar
Barangsiapa menghayati malam Lailatul Qadar dengan mengerjakan sembahyang dan berbagai jenis ibadat yang lain sedang ia beriman dan mengharapkan rahmat Allah taala nescaya ia diampunkan dosanya yang terdahulu. Pada malam tersebut, malaikat akan turun dan berjalan kepada seluruh individu yang sedang beribadat secara berdiri, duduk, bersolat, berzikir, serta memberi salam kepada mereka dan mengaminkan doa mereka maka ALLAH akan mengampunkan mereka kecuali empat kumpulan: peminum arak, penderhaka ibu bapa, pemutus silaturahim dan individu yang sedang bermusuhan.
CUACA PADA MALAM LAILATUL QADAR
1. Cuaca malam Qadar sangat tenang dan tenteram, malaikat turun berduyun-duyun sehingga melebih jumlah batu-batu kerikil di muka bumi ini, mereka memberi salam dan aminkan doa mereka yang sedang beribadah, samada solat, berdoa atau berzikir (perempuan yang sedang uzur, haidh atau nifas, juga boleh berdoa dan berzikir walaupun tidak boleh solat).
2. Diriwayatkan dalam satu hadis Imam al-Bukhari, pernah berlaku malam Qadar pada malam yang hujan. Oleh itu jangan abaikan malam yang hujan kerana menyangka ia bukan malam Qadar. Hujan adalah rahmat dari Allah Ta’ala.